Thursday, May 16, 2013

TEMA HARI GURU 2013

Tema hari guru untuk tahun 2013 ialah Guru Malaysia :1Aspirasi, 1Agenda. Selamat hari guru kepada semua guru Malaysia terutamanya suami tercinta, bonda tersayang dan pakcik makcik saya. Maklumlah dalam keluarga terlalu ramai yang bergelar GURU. Semoga kalian berjaya mendidik anak bangsa dengan jayanya..

LUKA EPISIOTOMI TERBUKA - SIRI 2

Salam.
Lama tak ada entry baru. Di entry lepas saya ada update pasal luka episiotomi terbuka. Hari ini genap 80 hari saya selamat bersalin. Dan luka episiotomi saya masih belum sembuh. Agak menghairankan bagi sesetengah orang kan? Tapi saya tak risau. Doktor yang merawat saya bagi saya pilihan tempoh hari. Nak jahit semula atau biarkan saja? Luka saya boleh sembuh kalau dibiarkan saja tapi akan mengambil masa. Jika nak cepat sembuh, beliau cadangkan luka tersebut dijahit semula. Oh tidak!!! Tak sanggup nak kena jahit, saya buat keputusan biarkan saja. Lagipun ia tidak menyakitkan, tidak mengganggu saya bekerja cuma apabila kencing terasa sedikit pedihnya..

Thursday, March 21, 2013

ADAB MELAWAT ORANG BERSALIN

Salam. Entry kali ini bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sebagai peringatan kepada diri sendiri dan yang membaca entry ini. Lepas bersalin, ramai yang datang melawat. Minggu pertama lepas bersalin, mak mertua tinggal bersama. Mak mertua tak masak. Mak saya masak menu berpantang untuk saya sekaligus masak untuk suami dan mak mertua. Suami pergi ambil lauk setiap tengahari dan petang.

Nak dijadikan cerita, malam tu saya terima kunjungan keluarga terdekat. Kami belum makan lagi. Saya baru nak makan sementara mak mertua tengokkan baby. Jadi sayalah orang pertama yang makan. Tiba-tiba tetamu saya yang sorang ni ambil pinggan untuk makan juga. Ok takpelah, makanlah. Lepas saya makan, saya tinggalkan tetamu saya makan sendirian kerana nak menyusukan anak. Terkedu saya bila suami bisik, tetamu saya tu habiskan semua lauk yang sepatutnya untuk mak mertua dan suami. Malah yang lagi bagusnya, bekas-bekas lauk yang dah habis tu dia tinggalkan aje atas meja makan!

Selesai makan nasi, beliau ambil buah oren pula. Dipotong-potong dan dimakan. Yang bahagianya, kulit oren  yang dia makan tu dia tinggalkan juga. Sebelum balik, beliau ambil pula buah anggur segenggam seorang sebagai bekalan makan di tengah jalan.

Cerita ini semua saya tahu apabila mereka dah balik. Saya sempat tengok nasi dan lauk semua habis. Yang tinggal hanyalah bekas lauk yang kosong. Mak mertua saya la yang kemas dan cuci semua tu. Malunya saya bukan kepalang.

Tak pernah terfikir kalau kita melawat orang sakit/orang bersalin, kita harapkan dijamu makan tengahari atau makan malam. Kalau dihidangkan air pun dah bersyukur sebab motif utama, melawat orang sakit bukan memenuhi undangan rumah terbuka! Saya tak salahkan tetamu-tetamu saya tu kalau mereka lapar sangat sampai habiskan makan malam kami. Tapi beragak-agak la. Tak segan ke habiskan kemudian tinggal bekas kosong atas meja? Peringatan kepada semua dan diri sendiri, pandai-pandai la bawa diri.. Renung-renungkan..

Wednesday, March 20, 2013

LUKA JAHITAN EPISIOTOMI TERBUKA

Salam. Sudah 3 minggu saya bersalin. Tapi luka jahitan episiotomi belum menunjukkan ciri-ciri akan sembuh. Apa itu episiotomi? Semasa bersalin ramai wanita akan mengalami koyakan pada faraj semasa bayi melalui ruang pelvis. Untuk mengurangkan risiko koyakan, doktor akan melakukan episiotomi dimana faraj akan digunting sedikit untuk memudahkan laluan bayi. Lepas bersalin, luka tersebut akan dijahit dengan benang yang akan hancur sendiri selepas beberapa hari. Tapi berbeza dengan saya. Faraj saya digunting selepas bayi dan uri keluar. Alasannya kerana koyakan faraj tak cantik. Jadi untuk 'mencantikkannya' perlu digunting sedikit sebelum dijahit.

Rata-rata luka jahitan akan sembuh atau kering dalam masa 2 minggu. Tapi luka saya dah 3 minggu belum sembuh lagi sedangkan saya amalkan pantang pemakanan yang ketat. Luka saya belum sembuh tetapi tidak menyakitkan. Cuma rasa tidak selesa.

Minggu lepas, misi KK ada datang tengok luka jahitan saya. Katanya, "luka awak tak cantik". Saya tanya apa maksud tak cantik? Bernanah ke? Dia cuma ulang luka tak cantik. Saya malas nak tanya lagi setelah 2kali dia cakap perkara yang sama. Dia suruh saya ke mana-mana klinik swasta untuk dapatkan krim sapu. Saya tunjuk krim sapu yang saya ambil dari Pusat Perubatan Homepaty. Dia tanya dah berapa lama pakai, saya kata baru 2 hari. Dia kata pakai la dulu, kalau tak sembuh pergi klnik lain minta ubat sapu.

Pagi tadi saya ke klinik swasta di Taman Kosas, Ampang. Doktor tengok luka jahitan saya. Katanya jahitan saya terbuka sedikit. Boleh sembuh tapi ambil masa. Saya diberikan antibiotik. Saya minta ubat sapu, katanya tak perlu. Cuma cuci pakai air suam dan pastikan sentiasa kering. Lagi 2 minggu datang balik saya nak tengok, katanya. Suami tanya pada doktor, perlu jahit semula ke? Doktor kata tak perlu. Cuma sekarang makan antibiotik dulu. Kata doktor lagi, jahitan saya terbuka mungkin kerana saya lasak sangat.

Saya kenangkan kembali, saya berpantang tanpa ada orang jaga. Ya saya banyak berjalan. Mungkin itu faktornya. Tapi hati ini tak boleh terima 100%. Minggu ke 2 lepas bersalin, saya telah diurut. Tukang urut tu urut 1 badan. Bila sampai bahagian kaki, saya dikangkangkan, dikepakkan kaki saya dan dipijak-pijak kaki ni. Masa tu sakit yang amat. Saya mengadu pada tukang urut yang saya sakit, katanya badan saya ni manja, sakit sikit pun tak boleh. Lepas urut, memang saya akui rasa lega di bahagian sendi. Tak lenguh-lenguh lagi. Tapi saya curiga, adakah jahitan saya terbuka masa diurut? Atau kesilapan sendiri yang banyak berjalan? Wallahualam. 

Macam-macam cara yang saya peroleh hasil aktiviti menggoogle. Ada yang letak serbuk biji manjakani yang diasah pada luka, ada yang minum gamogen, ada yang cuci luka guna dettol, ada yang sapu ubat luka yang warna kuning malah ada yang sapu madu pada luka. Apa patut saya buat? Biarlah dulu, habiskan antibiotik la dulu. Dan minum pati ikan haruan.

Friday, March 15, 2013

KEBAIKAN SUSU IBU

Semasa hamil lagi, bakal ibu telah didedahkan oleh misi di KK tentang kebaikan susu ibu. Bakal ibu ditanya berulang kali nak susukan anak guna susu ibu mahupun susu formula. Misi minta bakal ibu fikir masak-masak dan buat persediaan dari segi mental. Mula-mula tak faham juga, apa yang nak buat persediaannya? Bila dah ada anak ni barulah faham. Mencabar rupanya. Silap-silap boleh give up di tengah jalan.

Anak saya punya kerenah bila menyusu, suka tarik puting ke kiri ke kanan hingga rasa pedih. Itu belum lagi pedih bila tumbuh gigi kelak. Kadang-kadang terdetik di hati nak stop bagi susu ibu. Bagi susu formula lagi senang. Tak sakit. Sesiapapun boleh tolong bagi. Ini bila bagi susu ibu, siapa yang boleh tolong kan? Kena bagi sendiri. Tapi saya pujuk hati bila terkenangkan kebaikan susu ibu. Jom semak.

Bila menyusukan anak, secara tidak langsung mendekatkan anak dengan ibu. Waktu menyusu la nak rapat-rapat pun. Kalau tak mana ada masa kan? Bila menyusukan anak, anak kita akan rasa selamat dan disayangi bila berada dalam dakapan ibunya. Penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu. Kesan baik ini bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil, namun ianya berkekalan di sepanjang hayatnya. Kebaikan ini meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi, dan juga pembentukan
peribadi seorang anak

Susu ibu juga bersesuaian untuk bayi yang memerlukan perkembangan otak yang optimum. Bayi yang dilahirkan sebagai insan yang tidak berdaya, memerlukan perhatian rapi ibunya untuk jangka masa yang panjang sebelum dia dapat berjalan. Susu ibu berubah mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Kandungan susu ibu tidak akan dapat ditiru sepenuhnya oleh kecanggihan teknologi moden dalam makmal atau kilang.

Penyusuan juga merupakan langkah yang praktikal bagi keluarga, kerajaan dan masyarakat untuk menjimatkan wang. Bayangkan berapa anda kena peruntukkan wang untuk membeli susu formula dalam sebulan? Susu formula dah la mahal. Jika anak alergi, kena tukar jenama. Jadi bahan ujikaji pula. Jadi baiklah bagi susu ibu yang sah-sah anak takkan alergi.

Dan yang penting, ada kajian membuktikan kanak-kanak yang diberikan susu ibu secara eksklusif lebih pintar daripada kanak-kanak yang diberikan susu formula. Tak sanggupkah kita berkorban sekejap untuk masa depan anak tersayang? Renung-renungkan :)

Tuesday, March 12, 2013

MENU BERPANTANG

Bagi kebanyakan wanita, perkara paling tak best masa berpantang adalah kena pantang makan. Itu tak boleh, ini tak boleh. Bermacam versi yang saya dengar. Ada seorang kawan ni, katanya dari hari pertama berpantang, dia makan segalanya. Ayam, daging dan ikan. Bukan rebus mahupun stim. Tapi dia makan masak macam-macam..Rendang, masak merah dan banyak lagi la. Macam menu makan tengahari yang kita biasa tengok kat kedai-kedai makan tu.. Saya tanya pada dia, tak gatal ke luka bila makan semua tu? Dia kata alhamdulillah tak gatal. Mak dia masakkan semua tu cuma syaratnya jangan letak santan. Gantikan santan dengan susu cair. Persoalannya beranikah anda nak cuba menu kawan saya ni?

Menu saya berpantang hari-hari ikan bakar atau ikan rebus. Dimakan dengan sup sayur. Sebelum berpantang, saya cuma makan sayur kangkung sahaja. Sayur lain tak gemar. Tapi bila pantang, mak bagi sup sayur macam-macam boleh pulak makan! Termasuklah lobak putih yang bau dan rasanya kurang menyenangkan. Saya tabahkan hati dengan pujuk hati mengatakan sabar, makan sayur untuk banyakkan susu, bukan untuk orang lain untuk anak sendiri jugak! Dan akhirnya dah lebih setengah bulan saya berjaya berpantang. Biarlah menu saya berpantang tak sesedap menu kawan saya tu. Tak berani merisikokan badan sendiri untuk nikmat makan.

Oh ye, sepanjang berpantang saya belum makan makanan yang ada lada hitam. Biasanya sebut aje pantang, orang terus ingat lada hitam kan? Masa mengandung, nurse KK pesan, jangan makan halia, lada hitam dan kunyit masa pantang. Jamu-jamu jangan sentuh langsung katanya. Untuk elak anak kuning. Kata nurse tu lagi, darah saya darah O. Anak mudah dapat kuning dan susah untuk baik. So pantanglah 3 benda yang dipesan tu. Alhamdulillah anak saya kuning seminggu aje.

Pengajaran yang saya dapat, selain kita ikut cakap orang tua-tua,kita juga boleh tanya pada orang moden macam nurse atau doktor. Apa yang mereka cakap berpandukan kajian. Selamat berpantanng :)

Monday, March 11, 2013

PENGALAMAN BERSALIN DI HOSPITAL KERAJAAN

Salam.
Saya selamat melahirkan anak lelaki secara normal pada 26 Februari lepas di Hospital Ampang. Sepatutnya saya dijangka bersalin 25 Februari tapi pada 25 haribulan tu tiada apa-apa tanda mahupun sakit nak bersalin. Petang sekitar jam 3 saya ke klinik swasta. Sekadar buat pemeriksaan biasa. Saya dimaklumkan bukaan telahpun terbuka sebanyak 3cm. Tapi pelik saya tak rasa sakit. Doktor scan perut saya. Katanya semua normal. Kepala bayi di bawah dan uri di atas, ok boleh bersalin normal. Cuma air ketuban terlalu sedikit. Bahaya untuk bayi.

Saya maklumkan pada doktor yang nurse klinik kesihatan cakap, kalau masih belum bersalin, 28 haribulan datang klinik untuk dapatkan surat. Kata doktor, air ketuban saya tak dapat tahan sampai 28 haribulan. Dia cadangkan kalau saya tak bersalin lagi esok [26 haribulan] terus dapatkan surat dari klinik kesihatan. Risau juga saya mendengarnya.

Balik dari klinik, saya menjalankan kerja seperti biasa. Petang kira-kira jam 5.30, ada tanda-tanda nak bersalin iaitu keluar lendir bercampur darah. Tapi saya bertenang dulu. Makan dulu bersama suami, adik dan abang. Habis makan, balik rumah dulu mandi dan ambil kelengkapan bermalam di hospital. Kira-kira jam 7 malam, saya sampai dimasukkan ke wad. Suami tak dibenarkan menemani. 

Jam 11.30 malam, saya mula merasakan sakit yang kerap. Mula-mula 15 minit sekali. Makin lama makin kerap jadi 5 minit sekali. Jam 2 pagi, saya gagahkan diri bangun jumpa nurse sebab tak tahan sakit. Bila diperiksa,bukaan masih 3cm. Saya disuruh tidur dulu. Memang hebat jika saya boleh tidur dalam keadaan macam tu. Panik. Terasa nak buang air besar tapi nampak tanda amaran yang bertulis "tolong jangan teran di dalam tandas". Ada orang terberanak dalam tandas ke? Yang saya rasa ni rasa nak buang air atau baby nak keluar? Akhirnya saya pergi juga ke tandas dan buang air. Hahaha..

Ok jam 5.30 pagi, saya rasa katil saya basah. Rasa ada air keluar. Saya bergegas bangun ke bilik doktor [kebetulan sebelah wad]. Sakitnya bukan kepalang. Nurse periksa bukaan. Saya tak pasti berapa bukaan yang pasti dah sampai waktu untuk bersalin. Saya disuruh telefon suami. 5.45pagi, saya dah di dalam bilik bersalin. Tapi suami belum sampai. Panik bila nurse kata sesama sendiri "tak sempat tunggu suami dia,kena buat sekarang,takut baby lemah". Tapi alhamdulillah suami saya sempat sampai memberi semangat untuk meneran.

Tepat 5.59 pagi,saya selamat melahirkan anak lelaki. Dalam keadaan anak saya masih diselaputi darah dan lendir, suami disuruh azankan anak kami. Ok suami turutkan saja. Selesai azan,suami disuruh keluar kerana saya dan baby akan dibersihkan sebelum dihantar ke wad. Dalam keadaan sedar, saya dengar dan faham nurse kata terpaksa gunting sikit di bahagian kemaluan saya sebeum dijahit. Saya akur. Selesai jahit kira-kira jam 6.30 pagi, saya ditinggalkan dengan keadaan berlumuran darah begitu sahaja. Saya nampak anak saya juga dibiarkan di satu sudut bilik bersalin tersebut. Sepanjang saya berada di bilik bersalin itu, ada 3-4 kali anak saya menangis. Mungkin lapar. Tapi tiada siapa yang endahkan. Saya nak bangun pun tak mampu. Badan masih lemah.

Jam 8.30 pagi, doktor masuk dalam bilik bersalin. Dia tanya "dah bersalin ke?" Saya kata dah, dah lama dah. Dia tanya pukul berapa, saya kata jam 5.59 pagi tadi. Dia terkejut seakan tidak percaya. Terus dia check rekod saya. Benar, 5.59 pagi saya selamat bersalin. Riuh rendah dia panggil nurse bersihkan saya. Berkali-kali dia memohon maaf kepada saya. Katanya yang menguruskan saya semasa bersalin tadi adalah jururawat pelatih shif malam dan sekarang kakitangan siang yang ambil alih. Beliau tak henti-henti meahirkan kekesalan atas apa yang terjadi. Jam 8.50 saya diberikan segelas susu serta mihun goreng. Jam 9 baru anak saya diletakkan sebelah saya untuk disusukan.

Saya bukan nak kondem hospital kerajaan. Juga bukan nak kata jururawat pelatih tidak sepatutnya uruskan urusan bersalin. Jika mereka tidak dilatih untuk menguruskan pesakit bersalin, sampai bila-bila pun mereka takkan mahir. Cuma saya kesal mereka uruskan saya bersalin tanpa dipantau oleh jururawat terlatih mahupun doktor. Nasib baik tiada perkara buruk terjadi. Jika terjadi sesuatu, siapa yang akan bertanggungjawab dan siapa yang akan dipersalahkan???