Thursday, February 14, 2013

UBAT/AIR SELUSUH

Ubat selusuh atau air selusuh amat diperlukan bagi wanita hamil. Persoalannya, masih praktikalkah ubat selusuh di zaman serba moden ini?

Ubat selusuh dari Homepaty
Ubat selusuh ini saya peroleh dari Pusat Perubatan Homepaty di PKNS Bangi. Memang keluarga saya amalkan pergi pusat perubatan ini sejak dulu tidak kira sakit apa walaupun sekadar demam. Tak terfikir sebenarnya nak minta ubat selusuh. Tapi akak dah tolong mintakan, alhamdulillah saya cuba sahajalah.

Ada juga yang amalkan air selusuh. Air yang dibacakan doa supaya Allah permudahkan proses melahirkan anak. Ini caranya :
1. Al-Fatihah
*bacaan bertajwid {link}


(1) Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
(2) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam
(3) Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
(4) Yang menguasai hari pembalasan
(5) Hanya kepada engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan
(6) Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
(7) (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


2. Selawat Syifa


Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberikan kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda.


3. Al-Hashr; ayat 21-24.




(21) Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.
(22) Dialah Allah, tiada ada Tuhan selain Dia. Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
(23) Dialah Allah, tiada ada Tuhan selain Dia, Maha Raja yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang menjaga keamanan, pemelihara keselamatan, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa. Yang Memiliki segala keagungan. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
(24) Dialah Allah yang Menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, Dia memiliki nama-nama yang indah. Apa yangdi langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Dan Dialah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

4. Ayat selusuh


Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin bagi isteriku, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.


5. Al-Insyiqaq; ayat 4-5


(4) dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong
(5) dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh.


6. An-Nazi'at; ayat 46.


Pada hari ketika mereka melihat hari kiamat itu (kerana suasananya hebat), mereka merasa seakan-akan hanya (sebentar saja) tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari.


7. Ayat selusuh

Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin bagi isteriku, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.


8. Ayat permudah

Ya Allah, permudahkanlah dan jangan kau sukarkan isteriku kerana engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagimu, ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatmu, ya arhamarrahimin.

Ada antara suami yang kata : "ala apa susah,beli aje air selusuh dari mak bidan".. Wahai suami-suami sekalian, sesungguhnya air selusuh buatan suami lebih mujarab berbanding yang dibeli. Apalah salahnya jika suami memberikan bantuan buat air selusuh? Nak tolong ganti sakit, memang dah tak boleh kan? Jadi tolonglah apa yang terdaya. Sesungguhnya kita hanya mampu berusaha, tapi Allah yang menentukan. Tapi di mana ada usaha, disitu ada kejayaan kan :)

Selain ubat dan air selusuh, mak saya ada bagitahu satu lagi cara. Apabila sudah mandi, hisap rambut yang masih basah dan baca bismillah serta selawat 3x. Insya'allah Allah permudahkan proses melahirkan anak.

Kesimpulannya, tidak salah kita berusaha mempermudahkan urusan melahirkan anak walau dengan apa cara sekalipun selagi ia tidak bertentangan dengan agama Islam dan tidak memudaratkan. Selamat mencuba.

Tuesday, February 12, 2013

BERBALOIKAH BELI KATIL BAYI?


Persediaan menyambut kelahiran bayi. Terutamanya anak sulung. Macam-macam nak dibeli untuk memastikan segalanya sempurna. Persoalannya, berbaloikah membeli katil bayi? Katil yang entah digunakan atau tidak. Kita rancang bayi tidur di katil bayi. Tup tup, bayi tidur disebelah ibu bagi memudahkan ibu bangun tengah malam memantau ibu. Atau, memang bayi tidur di katil bayi tapi hanya untuk 2-3 bulan sahaja sedangkan harga katil mencecah hingga seribu ringgit! Selepas itu, katil akan dilipat dan disimpan sahaja di dalam kotak.. Berbaloikah?

Alhamdulillah saya tak perlu membeli katil bayi. Saya hanya pinjam dari kakak saya. Katil yang dibeli 5 tahun lepas cantik tersimpan didalam kotak. Dan syukur, ia masih elok untuk digunakan dan masih nampak baru. Mungkin kalau orang taktahu akan kata saya baru beli katil tersebut.

Sebelum ditawarkan untuk pinjam katil bayi, saya dan suami telah berbincang. Kami ada meninjau di kompleks membeli belah dan kedai barangan bayi untuk tengok harga katil bayi. Untuk yang agak tahan la kualitinya, harga antara RM800-RM1000++. Harga yang agak mahal. Kami berbincang dimana saya akan tidur selepas bersalin. Adakah di atas katil dalam bilik tidur kami sekarang atau di ruang tamu sahaja? Bentangkan tilam, cadar dan siaplah tempat tidur. Tak perlu katil. Mudah pun mudah untuk mak bidan mengurut saya. Tidak perlu masuk ke bilik tidur kami. Jika ruang tamu pilihan hati, maka katil bayi tidak diperlukan.

Akhirnya akak offer untuk pinjam katil. Saya ambil sajalah walaupun belum tahu pakai atau tidak. Selesai masalah bagi saya. Tapi bagi anda pasangan yang bakal menimang cahaya mata, berbaloikah anda melaburkan duit untuk membeli katil bayi yang anda sendiri belum pasti menggunakannya atau tidak? Jika saya tidak meminjam katil bayi dari kakak saya, mungkin saya tidak akan membeli katil bayi.

Saturday, February 9, 2013

MEMBENTUK EMOSI POSITIF

Malam ini saya melepak di rumah mak. Ayah buka rancangan Reset Minda saluran Astro Oasis 106. Saya pun tumpang sekaki. Kat sini saya nak share pasal emosi kanak-kanak yang saya dapat 'tangkap' dari rancangan itu.

Kenapa kanak-kanak diwajibkan solat dari umur 7 tahun? Ini kerana mulai umur 7 tahun kanak-kanak mempunyai minda sedar. Sebelum umur 7 tahun, kanak-kanak mempunyai minda luar sedar. Maksudnya disini, apa yang kanak-kanak ini dengar, nampak dan lihat, takkan ditapis oleh minda sedar. Ia akan terus kekal dalam pemikiran kanak-kanak. Contohnya jika ibu bapa selalu marah atau keluarkan kata-kata negatif seperti 'kau ni menyusahkan aku' atau 'kau ni bodoh la tak macam akak kau' atau lain-lain kata-kata yang negatif, kata-kata itu akan kekal dalam pemikiran anak-anak kita. Sampai ke remaja malah ke dewasa ia akan kekal. Malahan ia membuatkan kanak-kanak tersebut kurang keyakinan diri. Bagaimana nak berjaya dalam kehidupan jika dari kecil dia telah disajikan dengan kata-kata yang tidak enak didengar?

Walaupun apabila umur meningkat di mana kanak-kanak telah mempunyai minda sedar dimana boleh membezakan yang baik dengan yang tidak baik, setiap kata-kata atau perbuatan yang mereka dengar dan lihat di masa kecil tidak akan terpadam atau boleh dipadamkan begitu sahaja dari pemikiran mereka. Semuanya akan kekal dalam pemikiran mereka.

Kesimpulan yang saya dapat dari rancangan Reset Minda ini, dari bayi lagi kita hendaklah bagi contoh yang baik kepada anak-anak kita. Jika mereka ada buat salah, tegur dengan baik bukannya dengan kata-kata yang negatif. Dan kita juga sedia maklum, kata-kata orang tua adalah doa. Jagalah lidah anda dari mendoakan yang tidak baik kepada anak sendiri walaupun dalam keadaan tidak sengaja atau di luar sedar.

WANITA HAMIL vs SUAMI

Entry kali ini diilhamkan apabila tengok suami sanggup tolong membuat kerja rumah sedangkan isteri enak melingkar di atas katil. Saya seorang wanita hamil yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak. Doktor jangkakan saya akan bersalin 25 Februari ini. 

Lepas bersarapan hasil belian suami, saya berehat-rehat sambil membaca akhbar. Hampir 11 pagi, saya meminta izin suami untuk baring di dalam bilik. Akhirnya terlelap sehingga azan Zuhur berkumandang. Terharu rasanya bila bangun tengok rumah dah berkemas, baju dah berlipat, baju kotor dah dicuci dan siap dijemur dan makanan tengahari telah tersedia!

Saya tanya pada suami, kenapa buat semua ini? Inikan tanggungjawab saya sebagai isteri? Cukuplah suami membantu urut badan dan kaki saya setiap malam selain membancuh susu bawa ke katil sebelum saya tidur. Dan jawapannya, kerana saya sudi mengandungkan zuriatnya. Jika saya sekarang tak mengandung, rasanya suami tak buat semua ini [katanya].. Wahhh jawab saya : kalau macam ni tiap-tiap tahun mengandung pun tak apa!

Saya bukan nak memuji suami sendiri. Tapi alhamdulillah jika semua wanita hamil di luar sana mendapat suami yang prihatin tentang diri kita. Dahlah kita sama-sama bekerja. Memikul zuriat dala perut ke hulu ke hilir. Dapat bantuan walaupun sikit dari suami, pastinya sudah sangat-sangat meringankan beban kita. Betul tak???