Thursday, May 16, 2013

TEMA HARI GURU 2013

Tema hari guru untuk tahun 2013 ialah Guru Malaysia :1Aspirasi, 1Agenda. Selamat hari guru kepada semua guru Malaysia terutamanya suami tercinta, bonda tersayang dan pakcik makcik saya. Maklumlah dalam keluarga terlalu ramai yang bergelar GURU. Semoga kalian berjaya mendidik anak bangsa dengan jayanya..

LUKA EPISIOTOMI TERBUKA - SIRI 2

Salam.
Lama tak ada entry baru. Di entry lepas saya ada update pasal luka episiotomi terbuka. Hari ini genap 80 hari saya selamat bersalin. Dan luka episiotomi saya masih belum sembuh. Agak menghairankan bagi sesetengah orang kan? Tapi saya tak risau. Doktor yang merawat saya bagi saya pilihan tempoh hari. Nak jahit semula atau biarkan saja? Luka saya boleh sembuh kalau dibiarkan saja tapi akan mengambil masa. Jika nak cepat sembuh, beliau cadangkan luka tersebut dijahit semula. Oh tidak!!! Tak sanggup nak kena jahit, saya buat keputusan biarkan saja. Lagipun ia tidak menyakitkan, tidak mengganggu saya bekerja cuma apabila kencing terasa sedikit pedihnya..

Thursday, March 21, 2013

ADAB MELAWAT ORANG BERSALIN

Salam. Entry kali ini bukan untuk memburukkan sesiapa tetapi sebagai peringatan kepada diri sendiri dan yang membaca entry ini. Lepas bersalin, ramai yang datang melawat. Minggu pertama lepas bersalin, mak mertua tinggal bersama. Mak mertua tak masak. Mak saya masak menu berpantang untuk saya sekaligus masak untuk suami dan mak mertua. Suami pergi ambil lauk setiap tengahari dan petang.

Nak dijadikan cerita, malam tu saya terima kunjungan keluarga terdekat. Kami belum makan lagi. Saya baru nak makan sementara mak mertua tengokkan baby. Jadi sayalah orang pertama yang makan. Tiba-tiba tetamu saya yang sorang ni ambil pinggan untuk makan juga. Ok takpelah, makanlah. Lepas saya makan, saya tinggalkan tetamu saya makan sendirian kerana nak menyusukan anak. Terkedu saya bila suami bisik, tetamu saya tu habiskan semua lauk yang sepatutnya untuk mak mertua dan suami. Malah yang lagi bagusnya, bekas-bekas lauk yang dah habis tu dia tinggalkan aje atas meja makan!

Selesai makan nasi, beliau ambil buah oren pula. Dipotong-potong dan dimakan. Yang bahagianya, kulit oren  yang dia makan tu dia tinggalkan juga. Sebelum balik, beliau ambil pula buah anggur segenggam seorang sebagai bekalan makan di tengah jalan.

Cerita ini semua saya tahu apabila mereka dah balik. Saya sempat tengok nasi dan lauk semua habis. Yang tinggal hanyalah bekas lauk yang kosong. Mak mertua saya la yang kemas dan cuci semua tu. Malunya saya bukan kepalang.

Tak pernah terfikir kalau kita melawat orang sakit/orang bersalin, kita harapkan dijamu makan tengahari atau makan malam. Kalau dihidangkan air pun dah bersyukur sebab motif utama, melawat orang sakit bukan memenuhi undangan rumah terbuka! Saya tak salahkan tetamu-tetamu saya tu kalau mereka lapar sangat sampai habiskan makan malam kami. Tapi beragak-agak la. Tak segan ke habiskan kemudian tinggal bekas kosong atas meja? Peringatan kepada semua dan diri sendiri, pandai-pandai la bawa diri.. Renung-renungkan..

Wednesday, March 20, 2013

LUKA JAHITAN EPISIOTOMI TERBUKA

Salam. Sudah 3 minggu saya bersalin. Tapi luka jahitan episiotomi belum menunjukkan ciri-ciri akan sembuh. Apa itu episiotomi? Semasa bersalin ramai wanita akan mengalami koyakan pada faraj semasa bayi melalui ruang pelvis. Untuk mengurangkan risiko koyakan, doktor akan melakukan episiotomi dimana faraj akan digunting sedikit untuk memudahkan laluan bayi. Lepas bersalin, luka tersebut akan dijahit dengan benang yang akan hancur sendiri selepas beberapa hari. Tapi berbeza dengan saya. Faraj saya digunting selepas bayi dan uri keluar. Alasannya kerana koyakan faraj tak cantik. Jadi untuk 'mencantikkannya' perlu digunting sedikit sebelum dijahit.

Rata-rata luka jahitan akan sembuh atau kering dalam masa 2 minggu. Tapi luka saya dah 3 minggu belum sembuh lagi sedangkan saya amalkan pantang pemakanan yang ketat. Luka saya belum sembuh tetapi tidak menyakitkan. Cuma rasa tidak selesa.

Minggu lepas, misi KK ada datang tengok luka jahitan saya. Katanya, "luka awak tak cantik". Saya tanya apa maksud tak cantik? Bernanah ke? Dia cuma ulang luka tak cantik. Saya malas nak tanya lagi setelah 2kali dia cakap perkara yang sama. Dia suruh saya ke mana-mana klinik swasta untuk dapatkan krim sapu. Saya tunjuk krim sapu yang saya ambil dari Pusat Perubatan Homepaty. Dia tanya dah berapa lama pakai, saya kata baru 2 hari. Dia kata pakai la dulu, kalau tak sembuh pergi klnik lain minta ubat sapu.

Pagi tadi saya ke klinik swasta di Taman Kosas, Ampang. Doktor tengok luka jahitan saya. Katanya jahitan saya terbuka sedikit. Boleh sembuh tapi ambil masa. Saya diberikan antibiotik. Saya minta ubat sapu, katanya tak perlu. Cuma cuci pakai air suam dan pastikan sentiasa kering. Lagi 2 minggu datang balik saya nak tengok, katanya. Suami tanya pada doktor, perlu jahit semula ke? Doktor kata tak perlu. Cuma sekarang makan antibiotik dulu. Kata doktor lagi, jahitan saya terbuka mungkin kerana saya lasak sangat.

Saya kenangkan kembali, saya berpantang tanpa ada orang jaga. Ya saya banyak berjalan. Mungkin itu faktornya. Tapi hati ini tak boleh terima 100%. Minggu ke 2 lepas bersalin, saya telah diurut. Tukang urut tu urut 1 badan. Bila sampai bahagian kaki, saya dikangkangkan, dikepakkan kaki saya dan dipijak-pijak kaki ni. Masa tu sakit yang amat. Saya mengadu pada tukang urut yang saya sakit, katanya badan saya ni manja, sakit sikit pun tak boleh. Lepas urut, memang saya akui rasa lega di bahagian sendi. Tak lenguh-lenguh lagi. Tapi saya curiga, adakah jahitan saya terbuka masa diurut? Atau kesilapan sendiri yang banyak berjalan? Wallahualam. 

Macam-macam cara yang saya peroleh hasil aktiviti menggoogle. Ada yang letak serbuk biji manjakani yang diasah pada luka, ada yang minum gamogen, ada yang cuci luka guna dettol, ada yang sapu ubat luka yang warna kuning malah ada yang sapu madu pada luka. Apa patut saya buat? Biarlah dulu, habiskan antibiotik la dulu. Dan minum pati ikan haruan.

Friday, March 15, 2013

KEBAIKAN SUSU IBU

Semasa hamil lagi, bakal ibu telah didedahkan oleh misi di KK tentang kebaikan susu ibu. Bakal ibu ditanya berulang kali nak susukan anak guna susu ibu mahupun susu formula. Misi minta bakal ibu fikir masak-masak dan buat persediaan dari segi mental. Mula-mula tak faham juga, apa yang nak buat persediaannya? Bila dah ada anak ni barulah faham. Mencabar rupanya. Silap-silap boleh give up di tengah jalan.

Anak saya punya kerenah bila menyusu, suka tarik puting ke kiri ke kanan hingga rasa pedih. Itu belum lagi pedih bila tumbuh gigi kelak. Kadang-kadang terdetik di hati nak stop bagi susu ibu. Bagi susu formula lagi senang. Tak sakit. Sesiapapun boleh tolong bagi. Ini bila bagi susu ibu, siapa yang boleh tolong kan? Kena bagi sendiri. Tapi saya pujuk hati bila terkenangkan kebaikan susu ibu. Jom semak.

Bila menyusukan anak, secara tidak langsung mendekatkan anak dengan ibu. Waktu menyusu la nak rapat-rapat pun. Kalau tak mana ada masa kan? Bila menyusukan anak, anak kita akan rasa selamat dan disayangi bila berada dalam dakapan ibunya. Penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu. Kesan baik ini bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil, namun ianya berkekalan di sepanjang hayatnya. Kebaikan ini meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi, dan juga pembentukan
peribadi seorang anak

Susu ibu juga bersesuaian untuk bayi yang memerlukan perkembangan otak yang optimum. Bayi yang dilahirkan sebagai insan yang tidak berdaya, memerlukan perhatian rapi ibunya untuk jangka masa yang panjang sebelum dia dapat berjalan. Susu ibu berubah mengikut perkembangan dan keperluan bayi. Kandungan susu ibu tidak akan dapat ditiru sepenuhnya oleh kecanggihan teknologi moden dalam makmal atau kilang.

Penyusuan juga merupakan langkah yang praktikal bagi keluarga, kerajaan dan masyarakat untuk menjimatkan wang. Bayangkan berapa anda kena peruntukkan wang untuk membeli susu formula dalam sebulan? Susu formula dah la mahal. Jika anak alergi, kena tukar jenama. Jadi bahan ujikaji pula. Jadi baiklah bagi susu ibu yang sah-sah anak takkan alergi.

Dan yang penting, ada kajian membuktikan kanak-kanak yang diberikan susu ibu secara eksklusif lebih pintar daripada kanak-kanak yang diberikan susu formula. Tak sanggupkah kita berkorban sekejap untuk masa depan anak tersayang? Renung-renungkan :)

Tuesday, March 12, 2013

MENU BERPANTANG

Bagi kebanyakan wanita, perkara paling tak best masa berpantang adalah kena pantang makan. Itu tak boleh, ini tak boleh. Bermacam versi yang saya dengar. Ada seorang kawan ni, katanya dari hari pertama berpantang, dia makan segalanya. Ayam, daging dan ikan. Bukan rebus mahupun stim. Tapi dia makan masak macam-macam..Rendang, masak merah dan banyak lagi la. Macam menu makan tengahari yang kita biasa tengok kat kedai-kedai makan tu.. Saya tanya pada dia, tak gatal ke luka bila makan semua tu? Dia kata alhamdulillah tak gatal. Mak dia masakkan semua tu cuma syaratnya jangan letak santan. Gantikan santan dengan susu cair. Persoalannya beranikah anda nak cuba menu kawan saya ni?

Menu saya berpantang hari-hari ikan bakar atau ikan rebus. Dimakan dengan sup sayur. Sebelum berpantang, saya cuma makan sayur kangkung sahaja. Sayur lain tak gemar. Tapi bila pantang, mak bagi sup sayur macam-macam boleh pulak makan! Termasuklah lobak putih yang bau dan rasanya kurang menyenangkan. Saya tabahkan hati dengan pujuk hati mengatakan sabar, makan sayur untuk banyakkan susu, bukan untuk orang lain untuk anak sendiri jugak! Dan akhirnya dah lebih setengah bulan saya berjaya berpantang. Biarlah menu saya berpantang tak sesedap menu kawan saya tu. Tak berani merisikokan badan sendiri untuk nikmat makan.

Oh ye, sepanjang berpantang saya belum makan makanan yang ada lada hitam. Biasanya sebut aje pantang, orang terus ingat lada hitam kan? Masa mengandung, nurse KK pesan, jangan makan halia, lada hitam dan kunyit masa pantang. Jamu-jamu jangan sentuh langsung katanya. Untuk elak anak kuning. Kata nurse tu lagi, darah saya darah O. Anak mudah dapat kuning dan susah untuk baik. So pantanglah 3 benda yang dipesan tu. Alhamdulillah anak saya kuning seminggu aje.

Pengajaran yang saya dapat, selain kita ikut cakap orang tua-tua,kita juga boleh tanya pada orang moden macam nurse atau doktor. Apa yang mereka cakap berpandukan kajian. Selamat berpantanng :)

Monday, March 11, 2013

PENGALAMAN BERSALIN DI HOSPITAL KERAJAAN

Salam.
Saya selamat melahirkan anak lelaki secara normal pada 26 Februari lepas di Hospital Ampang. Sepatutnya saya dijangka bersalin 25 Februari tapi pada 25 haribulan tu tiada apa-apa tanda mahupun sakit nak bersalin. Petang sekitar jam 3 saya ke klinik swasta. Sekadar buat pemeriksaan biasa. Saya dimaklumkan bukaan telahpun terbuka sebanyak 3cm. Tapi pelik saya tak rasa sakit. Doktor scan perut saya. Katanya semua normal. Kepala bayi di bawah dan uri di atas, ok boleh bersalin normal. Cuma air ketuban terlalu sedikit. Bahaya untuk bayi.

Saya maklumkan pada doktor yang nurse klinik kesihatan cakap, kalau masih belum bersalin, 28 haribulan datang klinik untuk dapatkan surat. Kata doktor, air ketuban saya tak dapat tahan sampai 28 haribulan. Dia cadangkan kalau saya tak bersalin lagi esok [26 haribulan] terus dapatkan surat dari klinik kesihatan. Risau juga saya mendengarnya.

Balik dari klinik, saya menjalankan kerja seperti biasa. Petang kira-kira jam 5.30, ada tanda-tanda nak bersalin iaitu keluar lendir bercampur darah. Tapi saya bertenang dulu. Makan dulu bersama suami, adik dan abang. Habis makan, balik rumah dulu mandi dan ambil kelengkapan bermalam di hospital. Kira-kira jam 7 malam, saya sampai dimasukkan ke wad. Suami tak dibenarkan menemani. 

Jam 11.30 malam, saya mula merasakan sakit yang kerap. Mula-mula 15 minit sekali. Makin lama makin kerap jadi 5 minit sekali. Jam 2 pagi, saya gagahkan diri bangun jumpa nurse sebab tak tahan sakit. Bila diperiksa,bukaan masih 3cm. Saya disuruh tidur dulu. Memang hebat jika saya boleh tidur dalam keadaan macam tu. Panik. Terasa nak buang air besar tapi nampak tanda amaran yang bertulis "tolong jangan teran di dalam tandas". Ada orang terberanak dalam tandas ke? Yang saya rasa ni rasa nak buang air atau baby nak keluar? Akhirnya saya pergi juga ke tandas dan buang air. Hahaha..

Ok jam 5.30 pagi, saya rasa katil saya basah. Rasa ada air keluar. Saya bergegas bangun ke bilik doktor [kebetulan sebelah wad]. Sakitnya bukan kepalang. Nurse periksa bukaan. Saya tak pasti berapa bukaan yang pasti dah sampai waktu untuk bersalin. Saya disuruh telefon suami. 5.45pagi, saya dah di dalam bilik bersalin. Tapi suami belum sampai. Panik bila nurse kata sesama sendiri "tak sempat tunggu suami dia,kena buat sekarang,takut baby lemah". Tapi alhamdulillah suami saya sempat sampai memberi semangat untuk meneran.

Tepat 5.59 pagi,saya selamat melahirkan anak lelaki. Dalam keadaan anak saya masih diselaputi darah dan lendir, suami disuruh azankan anak kami. Ok suami turutkan saja. Selesai azan,suami disuruh keluar kerana saya dan baby akan dibersihkan sebelum dihantar ke wad. Dalam keadaan sedar, saya dengar dan faham nurse kata terpaksa gunting sikit di bahagian kemaluan saya sebeum dijahit. Saya akur. Selesai jahit kira-kira jam 6.30 pagi, saya ditinggalkan dengan keadaan berlumuran darah begitu sahaja. Saya nampak anak saya juga dibiarkan di satu sudut bilik bersalin tersebut. Sepanjang saya berada di bilik bersalin itu, ada 3-4 kali anak saya menangis. Mungkin lapar. Tapi tiada siapa yang endahkan. Saya nak bangun pun tak mampu. Badan masih lemah.

Jam 8.30 pagi, doktor masuk dalam bilik bersalin. Dia tanya "dah bersalin ke?" Saya kata dah, dah lama dah. Dia tanya pukul berapa, saya kata jam 5.59 pagi tadi. Dia terkejut seakan tidak percaya. Terus dia check rekod saya. Benar, 5.59 pagi saya selamat bersalin. Riuh rendah dia panggil nurse bersihkan saya. Berkali-kali dia memohon maaf kepada saya. Katanya yang menguruskan saya semasa bersalin tadi adalah jururawat pelatih shif malam dan sekarang kakitangan siang yang ambil alih. Beliau tak henti-henti meahirkan kekesalan atas apa yang terjadi. Jam 8.50 saya diberikan segelas susu serta mihun goreng. Jam 9 baru anak saya diletakkan sebelah saya untuk disusukan.

Saya bukan nak kondem hospital kerajaan. Juga bukan nak kata jururawat pelatih tidak sepatutnya uruskan urusan bersalin. Jika mereka tidak dilatih untuk menguruskan pesakit bersalin, sampai bila-bila pun mereka takkan mahir. Cuma saya kesal mereka uruskan saya bersalin tanpa dipantau oleh jururawat terlatih mahupun doktor. Nasib baik tiada perkara buruk terjadi. Jika terjadi sesuatu, siapa yang akan bertanggungjawab dan siapa yang akan dipersalahkan???

Thursday, February 14, 2013

UBAT/AIR SELUSUH

Ubat selusuh atau air selusuh amat diperlukan bagi wanita hamil. Persoalannya, masih praktikalkah ubat selusuh di zaman serba moden ini?

Ubat selusuh dari Homepaty
Ubat selusuh ini saya peroleh dari Pusat Perubatan Homepaty di PKNS Bangi. Memang keluarga saya amalkan pergi pusat perubatan ini sejak dulu tidak kira sakit apa walaupun sekadar demam. Tak terfikir sebenarnya nak minta ubat selusuh. Tapi akak dah tolong mintakan, alhamdulillah saya cuba sahajalah.

Ada juga yang amalkan air selusuh. Air yang dibacakan doa supaya Allah permudahkan proses melahirkan anak. Ini caranya :
1. Al-Fatihah
*bacaan bertajwid {link}


(1) Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
(2) Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam
(3) Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
(4) Yang menguasai hari pembalasan
(5) Hanya kepada engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan
(6) Tunjukkanlah kami jalan yang lurus
(7) (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.


2. Selawat Syifa


Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberikan kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda.


3. Al-Hashr; ayat 21-24.




(21) Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia agar mereka berfikir.
(22) Dialah Allah, tiada ada Tuhan selain Dia. Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Dialah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
(23) Dialah Allah, tiada ada Tuhan selain Dia, Maha Raja yang Maha Suci, yang Maha Sejahtera, yang menjaga keamanan, pemelihara keselamatan, yang Maha Perkasa, yang Maha Kuasa. Yang Memiliki segala keagungan. Maha suci Allah dari apa yang mereka persekutukan.
(24) Dialah Allah yang Menciptakan, yang mengadakan, yang membentuk rupa, Dia memiliki nama-nama yang indah. Apa yangdi langit dan di bumi bertasbih kepada-Nya. Dan Dialah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

4. Ayat selusuh


Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin bagi isteriku, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.


5. Al-Insyiqaq; ayat 4-5


(4) dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong
(5) dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh.


6. An-Nazi'at; ayat 46.


Pada hari ketika mereka melihat hari kiamat itu (kerana suasananya hebat), mereka merasa seakan-akan hanya (sebentar saja) tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari.


7. Ayat selusuh

Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin bagi isteriku, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.


8. Ayat permudah

Ya Allah, permudahkanlah dan jangan kau sukarkan isteriku kerana engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagimu, ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatmu, ya arhamarrahimin.

Ada antara suami yang kata : "ala apa susah,beli aje air selusuh dari mak bidan".. Wahai suami-suami sekalian, sesungguhnya air selusuh buatan suami lebih mujarab berbanding yang dibeli. Apalah salahnya jika suami memberikan bantuan buat air selusuh? Nak tolong ganti sakit, memang dah tak boleh kan? Jadi tolonglah apa yang terdaya. Sesungguhnya kita hanya mampu berusaha, tapi Allah yang menentukan. Tapi di mana ada usaha, disitu ada kejayaan kan :)

Selain ubat dan air selusuh, mak saya ada bagitahu satu lagi cara. Apabila sudah mandi, hisap rambut yang masih basah dan baca bismillah serta selawat 3x. Insya'allah Allah permudahkan proses melahirkan anak.

Kesimpulannya, tidak salah kita berusaha mempermudahkan urusan melahirkan anak walau dengan apa cara sekalipun selagi ia tidak bertentangan dengan agama Islam dan tidak memudaratkan. Selamat mencuba.

Tuesday, February 12, 2013

BERBALOIKAH BELI KATIL BAYI?


Persediaan menyambut kelahiran bayi. Terutamanya anak sulung. Macam-macam nak dibeli untuk memastikan segalanya sempurna. Persoalannya, berbaloikah membeli katil bayi? Katil yang entah digunakan atau tidak. Kita rancang bayi tidur di katil bayi. Tup tup, bayi tidur disebelah ibu bagi memudahkan ibu bangun tengah malam memantau ibu. Atau, memang bayi tidur di katil bayi tapi hanya untuk 2-3 bulan sahaja sedangkan harga katil mencecah hingga seribu ringgit! Selepas itu, katil akan dilipat dan disimpan sahaja di dalam kotak.. Berbaloikah?

Alhamdulillah saya tak perlu membeli katil bayi. Saya hanya pinjam dari kakak saya. Katil yang dibeli 5 tahun lepas cantik tersimpan didalam kotak. Dan syukur, ia masih elok untuk digunakan dan masih nampak baru. Mungkin kalau orang taktahu akan kata saya baru beli katil tersebut.

Sebelum ditawarkan untuk pinjam katil bayi, saya dan suami telah berbincang. Kami ada meninjau di kompleks membeli belah dan kedai barangan bayi untuk tengok harga katil bayi. Untuk yang agak tahan la kualitinya, harga antara RM800-RM1000++. Harga yang agak mahal. Kami berbincang dimana saya akan tidur selepas bersalin. Adakah di atas katil dalam bilik tidur kami sekarang atau di ruang tamu sahaja? Bentangkan tilam, cadar dan siaplah tempat tidur. Tak perlu katil. Mudah pun mudah untuk mak bidan mengurut saya. Tidak perlu masuk ke bilik tidur kami. Jika ruang tamu pilihan hati, maka katil bayi tidak diperlukan.

Akhirnya akak offer untuk pinjam katil. Saya ambil sajalah walaupun belum tahu pakai atau tidak. Selesai masalah bagi saya. Tapi bagi anda pasangan yang bakal menimang cahaya mata, berbaloikah anda melaburkan duit untuk membeli katil bayi yang anda sendiri belum pasti menggunakannya atau tidak? Jika saya tidak meminjam katil bayi dari kakak saya, mungkin saya tidak akan membeli katil bayi.

Saturday, February 9, 2013

MEMBENTUK EMOSI POSITIF

Malam ini saya melepak di rumah mak. Ayah buka rancangan Reset Minda saluran Astro Oasis 106. Saya pun tumpang sekaki. Kat sini saya nak share pasal emosi kanak-kanak yang saya dapat 'tangkap' dari rancangan itu.

Kenapa kanak-kanak diwajibkan solat dari umur 7 tahun? Ini kerana mulai umur 7 tahun kanak-kanak mempunyai minda sedar. Sebelum umur 7 tahun, kanak-kanak mempunyai minda luar sedar. Maksudnya disini, apa yang kanak-kanak ini dengar, nampak dan lihat, takkan ditapis oleh minda sedar. Ia akan terus kekal dalam pemikiran kanak-kanak. Contohnya jika ibu bapa selalu marah atau keluarkan kata-kata negatif seperti 'kau ni menyusahkan aku' atau 'kau ni bodoh la tak macam akak kau' atau lain-lain kata-kata yang negatif, kata-kata itu akan kekal dalam pemikiran anak-anak kita. Sampai ke remaja malah ke dewasa ia akan kekal. Malahan ia membuatkan kanak-kanak tersebut kurang keyakinan diri. Bagaimana nak berjaya dalam kehidupan jika dari kecil dia telah disajikan dengan kata-kata yang tidak enak didengar?

Walaupun apabila umur meningkat di mana kanak-kanak telah mempunyai minda sedar dimana boleh membezakan yang baik dengan yang tidak baik, setiap kata-kata atau perbuatan yang mereka dengar dan lihat di masa kecil tidak akan terpadam atau boleh dipadamkan begitu sahaja dari pemikiran mereka. Semuanya akan kekal dalam pemikiran mereka.

Kesimpulan yang saya dapat dari rancangan Reset Minda ini, dari bayi lagi kita hendaklah bagi contoh yang baik kepada anak-anak kita. Jika mereka ada buat salah, tegur dengan baik bukannya dengan kata-kata yang negatif. Dan kita juga sedia maklum, kata-kata orang tua adalah doa. Jagalah lidah anda dari mendoakan yang tidak baik kepada anak sendiri walaupun dalam keadaan tidak sengaja atau di luar sedar.

WANITA HAMIL vs SUAMI

Entry kali ini diilhamkan apabila tengok suami sanggup tolong membuat kerja rumah sedangkan isteri enak melingkar di atas katil. Saya seorang wanita hamil yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak. Doktor jangkakan saya akan bersalin 25 Februari ini. 

Lepas bersarapan hasil belian suami, saya berehat-rehat sambil membaca akhbar. Hampir 11 pagi, saya meminta izin suami untuk baring di dalam bilik. Akhirnya terlelap sehingga azan Zuhur berkumandang. Terharu rasanya bila bangun tengok rumah dah berkemas, baju dah berlipat, baju kotor dah dicuci dan siap dijemur dan makanan tengahari telah tersedia!

Saya tanya pada suami, kenapa buat semua ini? Inikan tanggungjawab saya sebagai isteri? Cukuplah suami membantu urut badan dan kaki saya setiap malam selain membancuh susu bawa ke katil sebelum saya tidur. Dan jawapannya, kerana saya sudi mengandungkan zuriatnya. Jika saya sekarang tak mengandung, rasanya suami tak buat semua ini [katanya].. Wahhh jawab saya : kalau macam ni tiap-tiap tahun mengandung pun tak apa!

Saya bukan nak memuji suami sendiri. Tapi alhamdulillah jika semua wanita hamil di luar sana mendapat suami yang prihatin tentang diri kita. Dahlah kita sama-sama bekerja. Memikul zuriat dala perut ke hulu ke hilir. Dapat bantuan walaupun sikit dari suami, pastinya sudah sangat-sangat meringankan beban kita. Betul tak???

Monday, January 28, 2013

Mencuci Pakaian Bayi

Sebulan sebelum due, menyiapkan persiapan menyambut kelahiran bayi adalah aktiviti wajib setiap pasangan agaknya.  Hari ini aktiviti mencuci pakaian bayi walaupun pakaian ni dah lama dapat. Dapat? Hahaha pakaian pinjam. Nasib baik saya bukan yang pertama yang bakal melahirkan anak. Boleh dikatakan semua barang baby adalah hasil pinjaman dari kakak yang baik hati.

Boleh tahan banyak! Stokin dan sarung tangan baby saja 45 pasang. Belum masuk baju-baju, bengkung, katil, kelambu dan macam-macam lagi. Kiranya penjimatan kos yang amat sangat la saya ni. Alhamdulillah.
Penat juga saya dan suami pusing Tesco, Jusco dan Carefour untuk cari penyangkut baju yang kecil. Yelah baju baby kan kecil. Kalau pakai penyangkut baju yang biasa, boleh kembang baju tu nanti. Tapi dah tak ada sangat, kami pakai juga. Baju yang tersangat kecil, kami sangkutkan aje. Sayang kalau baju kembang. Mana tau nanti ada rezeki boleh pinjam lagi untuk baby akan datang. Lagipun memang dah uar-uarkan pada adik beradik, siapa yang bakal ada anak boleh pinjam sehinggalah baju ni tak nampak rupa baju.

Nak dijadikan cerita, hari tu jalan-jalan, terlalu depan kedai RM2. Nampak la penyangkut baju yang kecil dan comel tu. Apa lagi, kami borong semua la! Kepada yang mencari penyangkut naju kecil, carilah di kedai RM2. Tak payah susah-susah pergi supermarket.. Oh ye, anda tahu kan mencuci baju bayi tak boleh guna sabun mencuci biasa? Saya gunakan sabun pakaian bayi jenama NappiKleen.

Dan hari ini juga operasi memasang katil baby. Juga hasil pinjaman. Tq sis :)

Saturday, January 19, 2013

4D SCAN

Apa beza 2D, 3D dan 4D scan? Senang kata 2D hitam putih, 3D upgrade sikit la, 4D lebih jelas dan dalam bentuk video. Lagi detail klik sini

Saya nak share pengalaman saya pergi scan 4D. Maklumlah anak sulung. Macam-macam nak cuba. Orang sebut scan 4D, saya pun menggelabah nak juga. Nakkan pengalaman + excited nak tengok baby. Baby saya sangatlah pemalu. Mula-mula masa scan dia tidur dengan gaya tangan atas dahi. Ditepuk-tepuk perut pun taknak bangun. Agaknyalah, dia kata bestnya ada orang dodoikan dia tidur :)

Lama juga sesi mengganggu baby tidur. Lepas dia bangun, dia tutup muka pulak!!! Pujuk-pujuk turun sikit tangan dia. Lastly tangan tutup mulut. Aduhai anakku, pemalu sangat macam mama!

Inilah hasilnya scan 4D itu...
Ikut muka siapa la ye baby ni? Sonographer kata hidung baby mancung, terus ayah dia kata ikut muka dia! Bila sonographer kata pipi tembam ni, ayah dia pun kata haa itu ikut muka ibu! Amboi amboi amboi macamlah ayah tak tembam.

Memang jelas nampak jantina baby. So 100% baby saya boy. Dia detect juga detail berat, panjang kaki, ukuran pinggang, jumlah air ketuban dan lain-lain. Dengan harga RM100, saya dapat sekeping cd. Appoiment pun senang nak buat. Dihujung jari. Klik

NAJIS WARNA HITAM?

Salam. Lama sungguh saya menyepikan diri dek kesibukan urusan harian. Maaf, tajuk entry kali ini nampak agak 'dasyat' atau 'kotor'. Tapi inilah yang ingin saya kongsikan.

Saya diberi vitamin oleh dokrot dari klinik kesihatan ibu dan anak. Lepas makan vitamin tu, saya perasan najis saya berwarna hitam. Mula-mula, saya sangat-sangat terkejut! Ada orang kata, najis warna hitam tu tanda-tanda kematian semakin hampir. Ya Allah, dah la dah dekat nak beranak, dengar orang kata macam tu pulak! Ke petanda saya akan mati masa beranak? Minta dijauhkan.

Saya mula menggoogle dan bertanya sana sini. Ada yang kata kerana toksid dalam badan. Ada juga kata kerana pemakanan. Kakak saya pula kata kerana vitamin yang saya makan itu adalah iron. Ok saya pun google lagi kandungan haematinic capsule [vitamin yang saya makan tu] dan ya, ia adalah iron! Fuh lega! Orang kata kalau kita baru makan asid folid dan makan iron, memang najis kita warna hitam. So janganlah kita panik tak tentu pasal jika tiba-tiba ia bertukar warna!